Saturday, June 13, 2009

Budaya keusahawanan bangunkan ekonomi, tamadun Islam


BUDAYA keusahawanan bukanlah suatu yang asing daripada kerangka Islam. Malah, Islam sebagai cara hidup menekankan nilai positif yang boleh diguna pakai dalam membentuk budaya perniagaan jernih menepati prinsip dan matlamat syariah Melayu Boleh.


Tidak hairanlah jika budaya keusahawanan turut ditekankan Nabi Muhammad SAW sebagai pintu rezeki yang utama. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sembilan daripada persepuluh rezeki datang daripada perniagaan.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Walaupun Islam menitikberatkan bidang perniagaan dan keusahawanan, realiti hari ini menunjukkan umat Islam lebih selesa menjadi masyarakat pengguna dikeluarkan pihak lain atau negara luar terutama dari Barat.


Demikian juga suasana dalam negara yang memperlihatkan umat Islam khususnya golongan Bumiputera yang agak ketinggalan dalam penguasaan ekonomi khususnya bidang perniagaan dan keusahawanan berbanding bukan Islam.


Budaya keusahawanan sebati dengan keperibadian Nabi SAW. Sebelum Baginda diangkat menjadi rasul lagi, Baginda adalah usahawan berjaya. Nabi Muhammad SAW pernah diamanahkan sebagai Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) yang bertanggungjawab mengurus dan memperdagangkan harta dimiliki Saidatina Khadijah.

Budaya keusahawanan dimiliki Baginda SAW ditambah dengan akhlak terpuji yang dizahirkan dalam mengurus perniagaan lantas berjaya menambat hati Khadijah hingga dilamar menjadi suami.

Tidak terhenti setakat itu, apabila diangkat menjadi rasul, Baginda tetap menerapkan budaya sama di kalangan sahabat dan umat Islam. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila Baginda berhijrah ke Madinah.

Selaku ketua negara bagi sebuah kerajaan Islam yang baru bertapak, Nabi SAW amat mengerti dan memahami kepentingan memperkasa ekonomi kerajaan Islam. Apatah lagi dalam suasana Madinah pada ketika itu ekonominya hampir sepenuhnya dikuasai kaum minoriti Yahudi.

Merekalah yang menguasai pasar utama dan sumber asasi seperti air telaga. Mereka juga terkenal dengan kelicikan menindas bangsa Arab dalam urusan muamalah harian. Umpamanya, perniagaan dijalankan secara hutang dikenakan bunga yang tinggi hingga menjerat sesiapa saja berhutang dengan mereka. Malah caj penggunaan air juga amat tinggi hingga menjadikan mereka sebagai golongan berkuasa.

Sebab itulah sejarah memaparkan bagaimana usaha kedua terpenting Nabi SAW selepas membina masjid sebagai lambang pengukuhan aqidah dan iman penduduk Islam Madinah, turut membina pasar yang dikhaskan kepada umat Islam sebagai satu usaha penting pemantapan ekonomi Madinah.

Usaha pemantapan ekonomi tidak hanya sekadar memberi penumpuan kepada aspek fizikal iaitu membina pasar semata-mata, lebih ditekankan Nabi SAW ialah mencanai budaya keusahawanan yang luhur dan jernih berpandukan akhlak serta nilai diwahyukan Ilahi.

Baginda sendiri turun dan mentarbiah usahawan baru di kalangan masyarakat Arab yang sebelumnya tidak pernah terdedah kepada bidang perniagaan dan perdagangan. Kebergantungan kepada minoriti Yahudi memaksa mereka hidup dalam suasana penganiayaan dan persekitaran terhimpit serta tertekan.

Kehadiran Nabi SAW berjaya membebaskan mereka daripada segala bentuk penindasan dan perhambaan yang berkait rapat dengan kegagalan mengurus ekonomi hingga terpaksa bergantung kepada ihsan orang lain.

Kemandirian ekonomi penting bagi memastikan bukan saja umat Islam kuat daripada segi fizikal tetapi membolehkan mereka mempertahankan aqidah dan keimanan. Kekuatan ekonomi menjadikan umat Islam dipandang tinggi dan membantu menyebarluaskan agama ke seantero dunia.

Ulama feqah merumuskan suatu kaedah feqah (qaidah fiqhiyyah) yang berbunyi: “Sesuatu yang tanpanya menyebabkan perkara wajib itu tidak lengkap maka ia menjadi wajib.”

Apa yang difahami melalui kaedah itu ialah apabila wujud suatu perkara yang tanpanya tuntutan kefarduan itu tidak lengkap atau tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna maka perkara itu dengan sendirinya menjadi wajib.

Aspek ekonomi yang menjadi faktor penting menjana kekuatan tamadun Islam dan penyebaran agama Allah dengan sendirinya menjadi wajib bagi menyempurnakan tanggungjawab dakwah yang difardukan.

Hakikat menyedihkan hari ini, rata-rata umat Islam mengalami masalah kecelaruan pemikiran yang menyebabkan mereka menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

Umat Islam gagal memahami keutamaan (fiqh awlawiyat) dalam mengatur kehidupan mereka. Rata-rata umat Islam memahami agama daripada perspektif ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya. Sedangkan aspek muamalah yang sama penting dikesampingkan.

Akibat penyimpangan pemikiran sebeginilah menyebabkan umat Islam hari ini dilihat lemah dalam pelbagai bidang kehidupan, utamanya dalam hal berkaitan pentadbiran keduniaan, termasuk politik, ekonomi dan sosial.

Kebanyakan negara Islam dikategorikan sebagai miskin dan terkebelakang, sedangkan 1/3 sumber asli dan galian serta ekonomi dunia berada di negara Islam. Umat Islam tidak mampu bersaing dengan masyarakat lain dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Semua ini pastilah tidak menepati semangat dan nilai yang terkandung dalam ajaran Islam. Malah umat Islam hari ini bolehlah dikatakan gagal menghayati Islam seperti tuntutan wahyu Ilahi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang ditampilkan kepada (faedah) umat manusia sejagat, (kerana) dengan tugas menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (seperti mana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.” (Surah Ali-Imran, ayat 110).



(Kertas kerja Pengerusi Amanah Raya Berhad, Datuk Dusuki Ahmad, pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3)) Melayu Boleh.

Thursday, June 11, 2009

Islam Penyelamat Masaalah Bangsa Malaysia

Islam Penyelamat Masaalah Bangsa Malaysia,bukan hanya penyelamat tetapi sepatut menjadi agama kepada semua bangsa di Malaysia. Apakah tanggungjawab sebagai islam jika masih belum dapat berceritaka kebaikan kepada bukan islam.

Jalinan persaudaraan dan perhubungan antara seorang Muslim dan bukan Muslim sama sekali tidak dilarang oleh Islam, selagi pihak lain menghormati hak-hak kaum Muslim, sebagaimana ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam firmannya yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berbuat adil (memberikan sebahagian hartamu) kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah: 8)

Islam turut memberikan ruang yang aktif dalam menghormati dan menghargai prinsip hidup dan keyakinan orang lain. Aktif dan sentiasa bersedia untuk mencari titik persamaan antara bermacam-macam perbezaan, bahkan Islam bersedia bersatu dalam perbezaan.
Kebebasan beragama memangnya tidak dihalang oleh Islam dan menjadi hak setiap orang. Cuma yang berbeza ialah Islam tidak memberikan ruang kepada setiap muslim untuk menukarkan agamanya, kerana agama Islam itu sendiri telah dianggap lengkap dan sempurna.

Ini membuktikan bahawa sistem masyarakat dalam Islam adalah amat terbuka dan dapat diterima oleh semua bangsa dan agama, kerana Islam juga tidak pernah memaksa penganut agama lain untuk membuat pilihannya sendiri berdasarkan keyakinan dan kepercayaan masing-masing. Islam juga tidak menghalang agama lain berkembang bersama-sama berdasarkan prinsip dan etika tertentu seperti yang diamalkan oleh Rasullullah saw melalui Piagam Madinah.

Justeru tidak kurang dari 12 ayat dari piagam Madinah yang mengatur kehidupan bersama dengan umat Yahudi iaitu fasal 24 dan 25 serta fasal 27 hingga 35. Piagam tersebut dikembangkan lagi dengan peraturan hidup bersama dengan umat Nasrani iaitu fasal 25 hingga 35. Demikian juga dengan pencapaian dan kecemerlangan Cardoba,Andalusia dalam pelbagai bidang kerana Islam ,Yahudi dan Nasrani dapat tidur sebantal.

Puncak dari toleransi terhadap orang yang berbeza agama yang ditegaskan oleh al-Qur’an adalah ketika mewajibkan kita untuk berlaku adil terhadap seluruh manusia. Baik orang yang dicintai, dibenci, jauh, dekat, beriman atau kufur. Prinsip ini jugalah yang menjadi tunjang kepada pembentukan Rukun Negara yang menyanjung tinggi keyakinan kepada Tuhan, asalkan tidak melanggar institusi-institusi yang ditetapkan (menghormati undang-undang, Raja, Negara, tatasusila dan amalan budaya).

Sikap toleransi dan hormat menghormati antara kaum inilah telah meletakkan Malaysia sebagai sebuah Negara contoh tentang penyatuan kaum. Perpaduan antara kaum dilambangkan melalui isntitusi raja, yang dianggap sebagai payung pentadbiran Negara. Hak dan prinsip ini terus dikekalkan walaupun akhir-akhir ini terdapat usaha untuk merungkaikan nilai-nilai kemasyarakatan rakyat Malaysia masa kini. Berdasarkan situasi ini, beberapa peringatan daripada pelbagai pihak yang cintakan kedamaian meminta supaya setiap perbezaan tidak terjerumus ke kancah permusuhan. Ia harus dilihat sebagai cabaran untuk merapatkan jurang perbezaan bagi meneruskan agenda pembinaan Negara bangsa, ataupun bangsa Malaysia.

Bangsa Malaysia bukan bermakna bercirikan kekhususan fizikal, ia berbentuk kesatuan dalam pemikiran, tindakan dan psikologi. Saling bantu membantu dan bekerjasama dalam setiap aspek, seperti yang dijelaskan “apabila melihat satu kemalangan berlaku, apakah kita akan bertanyakan mangsanya Melayu, Cina atau India?” Kita perlu menghulurkan bantuan dengan melupakan sempadan kaum dan ras. Kita menghulurkan bantuan kerana kita adalah sesama manusia, satu bangsa iaitu bangsa Malaysia.

Penegasan mengenai satu Malaysia misalnya memberikan kita satu semangat baru dalam menempuh dugaan mengharungi kegelojohan globalisasi dan serangan liberalisasi. Kita perlu menghayati apa yang dititahkan oleh Raja Dr. Nazrin “… rakyat perlu diinsafkan supaya jangan cepat membuang pelita kerana riang melihatkan fajar yang akan menyinsing kerana siang hari juga akan berakhir, jangan nanti bila malam mendakap senja, warga dan bangsa akan hidup teraba-raba.”

Oleh hal yang demikian itu, kita tidak perlu menolak sesuatu sistem yang telah sekian lama memberikan kita faedah secara keseluruhannya. Jika ia mempunyai kelemahan, kita sesama memperbaikinya. Kita bersama memenuhi tuntutan hidup bersama sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu dan mengamalkan toleransi. Kita tinggalkan perbezaan yang boleh meruntuhkan sistem yang telah banyak menjadikan kita kuat dan membangun sehingga banyak pihak yang cuba meruntuhkan nilai hidup dan budaya masyarakat Malaysia.